Adalah menjadi tanggungjawab Pemilik UnFranchise untuk mengekalkan rekod jualan yang tepat (termasuk resit jualan runcit dan Laporan Jualan Pemilik UnFranchise – Borang MY1000). Pelan Pemasaran Market Malaysia adalah berasaskan jualan runcit kepada konsumer akhir; oleh itu, semua bentuk penyimpanan stok atau pemuatan inventori adalah dilarang sama sekali. Produk yang ditawarkan kepada Pemilik UnFranchise adalah untuk dijual kepada konsumer sahaja dan jika Pemilik UnFranchise ingin, untuk kegunaan peribadi.
Minimum 70 peratus produk yang dipesan oleh Pemilik UnFranchise mesti dijual kepada pelanggan runcit.
Penguatkuasaan: Penyelaras Eksekutif bertanggungjawab menguatkuasakan dasar ini dalam organisasi mereka dan mungkin dikehendaki membeli inventori yang tidak dijual oleh susunan bawahan mereka dalam tempoh 90 hari dari waktu pembelian, memandangkan ia melanggar Peraturan 70 Peratus. Market Malaysia menguatkuasakan peruntukan ini bagi tujuan mematuhi pelbagai keperluan undang-undang dan kawal selia yang terpakai terhadap operasi syarikat. Dasar ini bukanlah alternatif kepada dasar pemulangan produk yang biasa (lihat Dasar Pemulangan).
Dokumentasi: Pihak Syarikat menghendaki setiap Pemilik UnFranchise untuk mengemukakan dokumentasi jualan runcit pada setiap suku tahun serta pada bila-bila masa atas permintaan.
Status Pesanan Terhad: Sebagai sebahagian daripada langkah pematuhan atau berikutan Keputusan Lembaga Tindakan Pembetulan, seorang Pemilik UnFranchise boleh diletakkan di bawah Status Pesanan Terhad. Selepas menerima pemberitahuan ini, Pemilik UnFranchise dikehendaki mengemukakan dokumentasi yang yang mengesahkan bahawa 70 peratus daripada pesanan UnFranchise seterusnya telah dipasarkan kepada pengguna akhir yang berkediaman di negara yang meluaskan kebenaran serta lesen operasi penuh Market Malaysia, sebelum pesanan baharu boleh dikemukakan. Kadar 70 peratus tersebut adalah berdasarkan Harga Runcit Disarankan bagi produk berkenaan, dan tidak termasuk tiket, bahan sokongan bisnes, cukai dan/atau kos penghantaran.
Dokumentasi tersebut hendaklah dimuat naik di pejabat pentadbiran Pemilik UnFranchise. Setiap resit jualan wajib menyertakan maklumat lengkap seperti nama, alamat, nombor telefon serta alamat E-mel pelanggan Pemilik UnFranchise berkenaan. Penetapan Status Pesanan Terhad ini akan terus berlanjutan sehingga Notis Penamatan dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Pematuhan Lapangan.
Pemilik UnFranchise tidak boleh menjual produk Market Malaysia dalam premis runcit, tetapi mereka boleh menjual produk Market Malaysia dalam premis perkhidmatan.
Definisi:
Premis Perkhidmatan: Sebuah premis perkhidmatan didefinisikan oleh Market Malaysia sebagai bisnes yang menjana 50 peratus atau lebih daripada pendapatan kasarnya menerusi perkhidmatan berkaitan. Contoh premis perkhidmatan ini termasuk tetapi tidak terhad kepada: salon kecantikan, bilik kiropraktik dan pakar perubatan, pusat perkhidmatan automotif, gimnasium, studio tarian dan aerobik serta kedai cucian kering.
Premis Peruncitan: Premis Peruncitan ialah mana-mana bisnes yang memperoleh 50 peratus atau lebih pendapatan kasar daripada produk yang dibeli dari rak atau produk yang boleh dicapai terus oleh konsumer akhir, seperti di kaunter untuk dibeli. Contoh premis peruncitan ini termasuk tetapi tidak terhad kepada: makanan kesihatan, barangan runcit, kedai perkakasan dan farmasi. Rangkaian premis peruncitan merangkumi daripada kedai milik persendirian hingga kedai serbaneka francais dan premis runcit rangkaian kedai.
Perdagangan: Produk dan perkhidmatan boleh didagangkan di kaunter atau rak pameran di mana-mana bahagian premis perkhidmatan. TIADA produk boleh dijual atau disimpan di mana-mana kedai runcit.
Perwakilan: Maklumat produk (sebagaimana yang dinyatakan dalam risalah Market Malaysia) mesti disediakan untuk konsumer akhir pada sepanjang masa.
Perlindungan Liabiliti Produk: Premis perkhidmatan yang membenarkan jualan produk Market Malaysia mesti menguruskan (jika mereka memilih untuk berbuat demikian) insurans liabiliti produk mereka sendiri, kerana mereka tidak mendapat perlindungan daripada Market Malaysia.
Pengenalan Pemilik UnFranchise: Adalah menjadi tanggungjawab Pemilik UnFranchise Market Malaysia yang membekalkan premis perkhidmatan bagi produk Market Malaysia untuk menyediakan penanda atau label yang jelas yang mengandungi nama, alamat dan nombor telefon mereka di atas produk untuk memudahkan pelanggan mengemukakan soalan dan memberi maklumat produk.
Menjual kepada Premis Peruncitan: Pemilik UnFranchise Market Malaysia tidak boleh menjual produk Market Malaysia kepada mana-mana premis peruncitan untuk dijual semula. Pemilik UnFranchise Market Malaysia tidak boleh menjual kepada peraih, wakil bebas atau pihak ketiga untuk menjual kepada mana-mana premis peruncitan. Hanya risalah yang diluluskan oleh syarikat boleh diletakkan di premis peruncitan.
Pemilik UnFranchise bebas menjual produk pada mana-mana harga yang dipilih oleh mereka, tertakluk kepada peruntukan Bab 20, Seksyen 7. Harga Runcit yang Disarankan hanyalah garis panduan yang disediakan oleh pihak syarikat untuk produk yang setanding di pasaran runcit.
Tidak akan ada kawasan eksklusif bagi tujuan pemasaran, jualan atau pengedaran, dan mana-mana Pemilik UnFranchise Bebas tidak boleh membayangkan atau menyatakan bahawa beliau mempunyai kawasan eksklusif. Market Malaysia menggalakkan Pemilik UnFranchise untuk membina dan menguruskan organisasi jualan dan pengedaran mereka di dalam negara dan memberi maklum balas kepada pertumbuhan yang bertanggungjawab di mana-mana lokasi geografi.
Penyimpanan: Produk yang dipasarkan melalui Market Malaysia perlu disimpan mengikut arahan (jika berkenaan) yang diberikan pada label maklumat produk.
Bungkusan: Produk Market Malaysia tidak dibenarkan dibungkus semula dalam apa cara sekalipun. Pembungkusan sedia ada dilaksanakan berdasarkan pematuhan terhadap pelbagai keperluan di bawah Undang-Undang Malaysia, dan Market Malaysia mematuhi keperluan tersebut dengan teliti.